LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

10 September 2009

Malam tujuh likur

Masa kecik-kecik dulu memang seronok masa malam bulan puasa ni. Seingat saya masa tu saya tinggal di Perkampungan Dato' Indera Syahbandar ataupun dikenali dengan famousnya oleh orang Pekan sebagai "rumah banjir". Biasanya saya mula memasang pelita ketika sepuluh malam terakhir Ramadhan. Petang-petang lagi saya telah melakukan pelbagai persedian untuk memasang pelita. Dengan membawa tong plastik, saya ke kedai " Sheikh Seman/Salim" (maaf saya tak berapa ingat) untuk membeli minyak tanah dengan mengayuh basikal BMX kesayangan saya.....hehe. Balik dari kedai semua pelita akan dikumpul, diisi dengan minyak tanah dan diperiksa sumbunya. Kalau sumbunya terlalu panjang alamatnya apinya terlalu besar dan mengeluarkan asap berkepul-kepul. Terlalu pendek....senang pulak padam pelitanya apabila ditiup angin. Senang cerita panjang sumbu tu kena pandai adjust ler. Masa tu kat kampung semuanya rumah kayu, berbanding sekarang banyak rumah batu berceracak berdiri mengantikan rumah kayu.

Biasanya saya tak mengantungkan pelita di tepi pagar, kenapa? Ada sebabnya. Kalau saya gantung juga akan hilangler semua pelita-pelita tu. Ni disebabkan budak2 disitu nakal-nakal sikit dan yang nakal2 tu bukan termasuk dalam geng saya. Saya ada geng juga masa tu, tapi tak ramai sebab saya bersekolah agak jauh dari rumah, manakala rakan lain bersekolah di sekolah berdekatan saja. Saya akui agak nakal juga masa tu.....tapi takde lah sampai nak rembat pelita orang lain. Abah selalunya telah mencari ranting kayu yang agak tegap di paya untuk dijadikan tiang mengantung pelita. Selepas semua pelita siap diisi dengan minyak, saya akan mengantungkannya di tiang2 yang disediakan abah.

Lepas berbuka saja terus ke laman rumah dan bawa mancis, masa tu mana ada lighter bagai. Satu persatu pelita dipasang dan cahayanya menerangi keliling rumah dan jalan. Kebetulan rumah saya di tepi simpang untuk orang nak ke surau bagi mengerjakan solat terawih. Secara x langsung pelita saya tu ada juga manfaatnya, menyinari jalan untuk mereka ke surau yang ketika tu kawasan kampung tu mana ada lampu jalan macam sekarang. Lepas isyak adalah saat yang paling best......fun time. Ada pelita....of course lah ada mercun dan bunga api. Main mercun dan bunga api takde lah sampai bakar rumah and hilang jari semua. Setakat baju berlubang tu standardlah...... kalau baju melayu dah berlubang baik senyap2 jer, kalau tak kena piat telinga dengan mama.....hehehe. Tu belum masuk lagi kalau sepupu2 datang main sama, lagi gamatlah satu kampung dengan suara kami.....hai zaman budak-budak.

Sekarang ia hanya tinggal kenangan yang akan disemat kemas dalam kotak memori. Ia merupakan detik terindah semasa kecil yang tak akan berulang semula kerana telah begitu lama masa itu berlalu. Sekarang kita kena bangun dari memori semalam kerana ada tanggungjawab yang sudah tergalas di bahu sebagai seorang dewasa. Biarkan saja memori itu disitu tapi jangan dilupakan terus kerana anda pasti akan tersenyum atau menangis sendirian apabila mengenang masa lepas. Sekian.